Pages

Sabtu, 10 Januari 2015

Waris Tuntut Tanah Adat

Lazimnya apabila sesuatu perkara yang mustahak yang melibatkan urusan tanah itu dilambat-lambatkan maka lama kelamaan ia bakal menjadi masalah berat dalam kehidupan kita. Akhirnya hari demi hari terasa ada bebanan yang selalu mengiringi kita walau di mana saja kita pergi. Begitulah yang rakan (client) saya rasakan saat ini ketika dia menceritakan segalanya bermula dari awal hingga akhir mengenai status atau kedudukan tanah keluarga mereka yang kini dalam bahaya kerana ada individu luar (bukan orang kampung) yang telah memohon tanah tersebut.

Masalahnya tanah ini telah lebih dahulu dipohon oleh orang luar tadi berbanding mereka. Akan tetapi mereka (keluarga ini) lebih dahulu mengusahakan tanah ini berbanding dengan orang luar tadi. Mereka telah mengusahakan (tanaman getah) pada tanah (bersebelahan dengan tanah yang di pohon) ini sejak turun-temurun dan akhirnya sampailah ke generasi rakan (client) saya itu. 

Setelah meneliti berapa dokumen yang dibawa, saya dapati kelebihan ada pada mereka kerana mereka boleh claim tempat ini sebagai Tanah Adat. Ini disebabkan terdapat tapak perkuburan keluarga mereka di tanah tersebut sejak dulu lagi.

Menurut Seksyen 15 di Ordinan Tanah Sabah Bab 68, terdapat tujuh (7) kriteria Tanah Hak Adat Anak Negeri (NCR) iaitu;
  1. Perolehan tanah menurut pegangan adat / kaum;
  2. Tanah yang ditanami dengan pokok buah-buahan, di mana jumlah pokok adalah di antara 50 atau lebih pada setiap hektar;
  3. Pengasingan pokok buah-buahan, sagu, rotan atau lain-lain tanaman yang mempunyai nilai komersial yang mana dapat dibuktikan oleh penuntut kepada Pemungut (PPHT) tanpa keraguan;
  4. Tanah perladangan / ternakan;
  5. Tanah yang telah dimajukan atau diusahakan dalam masa tiga tahun berturut-turut;
  6. Tanah perkuburan atau tempat keramat;
  7. Jalan masuk biasa bagi orang dan binatang.

Tanah Hak Adat Anak Negeri (NCR) juga merupakan hak pemilikan berkekalan atau secara turun temurun sepertimana yang dinyatakan di bawah Seksyen 65 dan Seksyen 66 dalam Ordinan Tanah Sabah Bab 68.

Hari ini setelah melakukan semakan ke atas tanah tersebut memang benar disana ada tanah perkuburan keluarga mereka. Ini akan lebih memberi peluang kepada mereka untuk memiliki tanah ini tanpa ada gangguan lagi. Sekarang saya sedang sediakan plan kedudukan tanah yang dipohon dan kedudukan tepat tapak perkuburan tersebut untuk diserahkan kepada rakan saya sebagai dokumen tambahan (sokongan) apabila mereka ke JTU dalam masa terdekat nanti.