Ads 468x60px

JLA

JLA-copy

lee

Lee-JUBsbh
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Khamis, 28 April 2022

Selasa, 26 April 2022

GARIS PANDUAN UNTUK MEMPROSES PERMOHONAN DAN MENETAPKAN SYARAT-SYARAT PENGAMBILAN PASIR SUNGAI

TUJUAN

Garis panduan ini disediakan bertujuan untuk melindungi sungai-sungai dari kesan buruk akibat aktiviti perlombongan pasir dengan mengwujudkan panduan yang seragam untuk memproses permohonan melombong pasir dan bagi menetapkan syarat-syarat yang jelas keatas pelombong-pelombong pasir sungai.

PENDAHULUAN

Pengambilan pasir dari sungai-sungai adalah satu aktiviti yang telah lama dijalankan di negara ini. Pasir merupakan salah satu bahan utama didalam industri pembinaan terutamanya yang melibatkan binaan konkrit dan jalanraya. Pasir juga banyak digunakan untuk kerja-kerja tebus guna tanah. Sumber bekalan pasir yang paling banyak dan mudah didapati ialah dari dasar sungai-sungai yang banyaknya terdapat di negara ini.

Pada masa kini, cara-cara yang sedang diamalkan untuk mengeluarkan bahan pasir dari sungai adalah seperti berikut:-

  • Kaedah menggunakan kapal korek.
  • Kaedah mengunakan pam dan pontun.
  • Kaedah mengunakan jengkaut jenis 'dragline' atau hidrolik.
  • Menggunakan tenaga manusia dengan alat penyedok dan sampan.

Antara kaedah yang paling popular adalah jenis pam dan jengkaut manakala penggunaan kapal korek kebanyakannya digunakan di bahagian kuala dan sungai- sungai yang besar sahaja.

Kegiatan pengambilan bahan pasir dari dasar sungai boleh menimbulkan beberapa masalah dan di antaranya ialah :-

  • Hakisan dan ketidakstabilan tebing sungai
  • Perubahan ke atas `regime' sungai
  • Halangan ke atas aliran air sungai
  • Gangguan kepada pergerakan pengangkutan air.
  • Kerosakan ke atas persekitaran sungai.
  • Kemerosotan kualiti air di hilir sungai.
  • Mendapan di bahagian saluran pengambilan air (water intakes) dan lain-lain   
  • struktur sungai dihilir.

Sebaliknya aktiviti pengambilan pasir sekiranya diuruskan dengan baik boleh mengurangkan mendapan pasir di dasar-dasar dan di kuala-kuala sungai. Ini bukan sahaja boleh mengurangkan kejadian banjir tetapi juga memudahkan laluan pengangkutan-pengangkutan air. Dalam hubungan ini JPS boleh me-mainkan peranan yang penting dengan memastikan setiap permohonan pasir yang diterima, dikaji dengan teliti terlebih dahulu. Pada amnya prosidur semasa pentadbiran melombong pasir sungai adalah seperti di Lampiran I.

Semasa memproses permohonan pengambilan pasir sungai serta menetapkan syaratsyarat kelulusan, adalah penting pejabat-pejabat JPS yang berkenaan memberi pertimbangan dan perhatian terhadap perkara-perkara yang berikut:

  • Memastikan sungai dilindungi dari hakisan tebing termasuk dasarnya.
  • Mengelakan gangguan kepada kerja pengendalian dan penyelenggaraan sungai oleh JPS, JBA, atau agensi-agensi lain.
  • Tidak akan menghalangkan aliran air sungai dan pergerakan pengangkutan air.
  • Dapat mengelakan/mengurangkan mendapan pasir di bahagian hilir sungai khasnya yang mempunyai struktur-struktur sungai seperti jeti, "water intakes", dan lain-lain.
  • Dapat memeliharakan `regime' dan persekitaran sungai. Tidak akan mencemarkan kualiti air sungai.

Masalah-masalah yang disebutkan akan dapat dikurangkan dengan mengambil langkah-langkah yang berikut:-

  • Memproses permohonan-permohonan dengan berpandukan kepada garis panduan yang dapat melindungi sungai-sungai.
  • Menetapkan syarat-syarat yang jelas kepada pemohon-pemohon dan memastikan syarat-syaratnya dipatuhi.

GARIS PANDUAN UNTUK MEMPROSES PERMOHONAN-PERMOHONAN

Sebelum meluluskan sesuatu permohonan permit pengambilan pasir kriteria-kriteria berikut perlu diberi perhatian :-

  • Lokasi pengeluaran pasir 
  • Cara pengeluaran pasir
  • Cara `stockpile' pasir
  • Perlindungan terhadap keadaan dan persekitaran sungai
  • Dokumen-dokumen Permohonan yang diperlukan

Lokasi Pengeluaran Pasir.

Bahagian-bahagian sungai dimana mendapan pasir telah berlaku hendaklah dikenalpasti terlebih dahulu. Pemohon-pemohon boleh dibenarkan untuk mengambil pasir ditempat-tempat tersebut untuk mengurangkan mendapan sungai.

Pasir hanya boleh diambil di sepertiga bahagian tengah sungai sahaja (Middle Third).

Pasir tidak boleh diambil dalam lingkungan 500 meter dari mana-mana struktur hidrolik yang penting seperti rumah pam, `water intakes' dan sebagainya dan dalam linkungan 200 meter dari lain-lain struktur hidrolik yang kecil serta termasuk jambatan, bangunan dan sebagainya kecuali dengan kebenaran daripada JPS.

Pasir tidak boleh diambil dimana hakisan terjadi atau dijangka berlaku umpamanya di liku tebing yang cekung (concave bank) .

Pengambilan pasir boleh dipertimbangkan untuk bahagian liku tebing yang cembung (convex bank) dimana pemendapan pasir telah berlaku. Pengambilan pasir yang melebihi keratan asal sungai adalah tidak dibenarkan.

Lapisan pasir yang boleh dikeluarkan dari dasar sungai hendaklah bergantung kepada kelebaran sungai tersebut dan jumlah pasir yang boleh dikeluarkan hendaklah bergantung kepada kadar penambahan semula (Replenishment Rate) sungai berkenaan. Sila lihat jadual 1.

Jadual 1 - Lapisan pengambilan pasir berdasarkan kelebaran sungai.

Jarak kebenaran pengambilan pasir diantara satu pengusaha dengan pengusaha yang lain hendaklah juga bergantung kepada kadar penambahan semula sungai berkenaan.

Cara Pengambilan Pasir

Cara pengambilan pasir yang disyorkan oleh pemohon tidak boleh diubahkan kepada cara atau kaedah lain setelah diluluskan oleh JPS. Permohonan baru hendaklah dibuat atau kebenaran dari JPS hendaklah diperolehi terlebih dahulu sebelum kaedah pengambilan pasir boleh ditukarkan. Berikut adalah beberapa kaedah pengambilan pasir yang boleh dipertimbangkan dalam memberi kelulusan terhadap perlombongan pasir sungai.

Kaedah Pam dan Pontun.

Kaedah pengambilan pasir cara ini adalah yang disyorkan, oleh kerana ia dapat mengurangkan kerosakan terhadap tebing sungai dan rezab nya. Namun demikian, pengusaha perlu memastikan bahawa kedudukan pam dan pontun serta tali pengukuh (anchor wire) dan paip pengalur pasir ke kawasan `stockpile' tidak menjadi penghalang kepada kerja-kerja penyelenggaraan sungai dan juga pergerakan pengangkutan air.

 Kaedah Jengkaut.

Hakisan kepada tebing sungai banyak dilaporkan berlaku dengan cara menggunakan mesin jengkaut sama ada jenis hidrolik atau `dragline'. Cara ini adalah tidak sesuai digunakan dalam keadaan yang berikut:-

  • Bahagian-bahagian dimana muka keratan sungainya adalah melebihi 40 meter (untuk mengelakkan pengambilan pasir diluar sepertiga bahagian tengah sungai).
  • Bahagian-bahagian sungai dimana ban nya adalah lembut dan tidak berupaya menerima beban jengkaut (untuk mengelak runtuhan dan hakisan tebing sungai).
  • Bahagian-bahagian sungai dimana persekitaran sungai perlu di pelihara atau dikekalkan dalam keadaan semulajadi. Dalam keadaan tertentu, kegunaan mesin-mesin ini boleh diberi pertimbangan, seperti kawasan-kawasan sungai diliku tebing yang cekung (convex bank) dimana pemendapan pasir telah berlaku. Adalah disyorkan, bagi menjamin keselamatan tebing sungai serta persekitarannya, wang pertaruhan yang secukupnya perlulah ditetapkan dan kaedah ini juga memerlukan pengawasan yang rapi bagi menjamin kepentingan tersebut.  

Kaedah Kapal Korek.

Bagi sungai-sungai yang besar dan bahagian muara sungai, penggunaan kapal korek yang sesuai boleh dipertimbangkan. Memandangkan kaedah ini boleh mengeluarkan kuantiti pasir yang banyak, untuk tujuan pengawalan, pelan sukat dasar perlu disediakan oleh pengusaha melombong pasir sebelum dan selepas pengambilan atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh JPS. Seperti juga kaedah pam dan pontun, pengusaha perlu memastikan tali pengukuh dan paip pengalur pasir kekawasan `stockpile' tidak menjadi penghalang kepada kerja-kerja penyelenggaraan sungai dan juga pengerakan pengangkutan air.

Cara Manual.

Pengambilan pasir secara manual yang menggunakan tenaga manusia dengan alat penyedok dan sampan tidak menimbulkan masalah yang serius. Walau bagaimana pun beberapa syarat-syarat teknikal yang berkenaan perlu dipatuhi.

Cara `Stockpile' Pasir

Cara `Stockpile' pasir yang baik adalah dengan mengunakan jenis struktur `Hopper' di mana pasir yang dipam dialirkan kedalamnya dan dikeluarkan menerusi pintu kawalan terus ke dalam lori pengangkut apabila diperlukan.

Kedudukan `Stockpile' pasir sebaik-baiknya hendaklah berada sekurangkurangnya 20 m dari tebing sungai.

Untuk kaedah jengkaut, pasir yang diambil oleh jengkaut boleh dibenarkan diletak sekurang-kurangnya 10 meter dari tebing sebagai `stockpile' sementara sebelum dibawa untuk dicuci dan dihimpunkan di `stockpile' utama yang mana hendaklah ditetapkan 20 meter dari tebing sungai.

Dimana air sungai dipam untuk tujuan mencuci pasir dan juga air yang mengalir keluar daripada `stockpile', aliran air yang menghala balik ke sungai perlu dikawal dengan disediakan saluran yang sempurna untuk mengelak hakisan tebing sungai dari berlaku. Struktur mencuci pasir juga hendaklah dipastikan berada sekurang-kurangnya 20 meter dari tebing sungai.

Perlindungan Terhadap Keadaan dan Persekitaran Sungai

Semua pokok dan tumbuhan haruslah dikekalkan dan sebarang penebangan serta pembersihan di sekitar kawasan tebing, hendaklah dilakukan atas kebenaran pihak JPS.

Di mana berlakunya kerosakan terhadap tebing sungai akibat daripada pengeluaran pasir maka pengusaha adalah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kerosakan tersebut dan perlu membaikinya atas tanggungan pengusaha sendiri.

Dimana perlu dan sebelum aktiviti pengambilan pasir dimulakan, pengusaha boleh disyaratkan untuk memperkukuhkan tebing sungai seperti menanam cerucuk bakau atau lain-lain cara yang sesuai untuk melindungi tebingnya.

Dimana terdapat kawasan sungai yang dijadikan tempat rekreasi atau tempat pemeliharaan habitat seperti tuntung, kawasan ini perlulah dielakkan daripada sebarang kegiatan pengambilan pasir.

Dokumen-dokumen Permohonan Yang Diperlukan Bagi tujuan memudahkan pemerosesan permohonan permit melombong pasir, JPS Negeri masing-masing bolehlah menetapkan kepada pemohonpemohon supaya mengemukakan dokumen-dokumen seperti di Lampiran II untuk pemerosesan kelulusan.

PEMEROSESAN KELULUSAN

Bagi setiap permohonan yang diterima oleh Pihak yang berkuasa [ Pejabat Tanah Daerah atau Pengarah Tanah dan Galian Negeri atau Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN)] berkenaan, JPS akan diminta untuk memberi ulasan mengenainya. Maka JPS dalam tempoh yang manasabah akan memberi ulasan samada:-

Permohonan disokong.

Syarat-syarat kelulusan akan dilampirkan mengandungi perkaraperkara berikut:-

• Syarat-syarat Teknikal.

Ditetapkan untuk maksud memastikan keadaan sungai sentiasa dilindungi dari segi kestabilan, persekitaran, pencemaran dan peranannya. Sila rujuk kepada Lampiran III.

• Syarat-syarat Pentadbiran.

Bertujuan untuk mengawal aktiviti pengusaha-pengusaha melombong pasir supaya tidak melanggar apa-apa syarat yang telah ditetapkan. Sila rujuk kepada Lampiran IV.

Permohonan tidak lengkap dan maklumat tambahan atau pembetulan perlu dibuat.

Permohonan tidak disokong atas sebab-sebab tertentu.

Memandangkan bahawa aktiviti perlombongan pasir sungai adalah ditadbirkan oleh Kerajaan Negeri masing-masing dan berbeza diantara satu dengan yang lain, Pejabat JPS Negeri masing-masing perlu mengunakan garis panduan ini disamping mengambil kira keperluan tempatan untuk dijadikan syarat-syarat yang dapat diamalkan dalam negeri yang berkenaan. Walau bagaimana pun syarat-syarat teknikal perlulah sentiasa dipatuhi.

Pejabat JPS Negeri juga perlu memastikan ianya diberi sesalinan surat kelulusan permohonan serta surat perjanjian persetujuan pengusaha untuk mematuhi kesemua syarat-syarat yang telah ditetapkan kepadanya dari Pihak berkuasa (Pejabat Tanah Daerah atau Pengarah Tanah dan Galian Negeri atau UPEN) supaya tindakan pemeriksaan dan kawalan dapat dilaksanakan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

PENUTUP

Aktiviti pengambilan pasir sungai telah banyak memberi sumbangan kepada industri pembinaan dan juga boleh mengurangkan masalah mendapan sungai dan kejadian banjir. Oleh yang demikian, Jabatan Pengairan dan Saliran pada dasarnya tidak ada halangan terhadap kegiatan pengambilan pasir sungai ini sekiranya kegiatan ini dijalankan dengan pengawalan yang baik.

Untuk mengawal timbulnya masalah akibat daripada kegiatan melombong pasir sepertimana yang telah disebutkan di atas, garis-garis panduan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam Garis Panduan ini semestinya dijadikan rujukan kepada semua pihak.

Penghargaan diberikan kepada semua JPS Negeri terutamanya JPS Negeri Kedah, Negeri Perak, Negeri Selangor, Negeri Pahang dan Negeri Kelantan yang telah bekerjasama dalam memberi maklumat-maklumat yang diperlukan untuk menyediakan garis panduan ini.

MAKLUMAT AM MENGENAI PENTADBIRAN MELOMBONG PASIR

Prosidur semasa

Semua permohonan untuk mendapatkan permit pengambilan pasir dari sungai pada masa ini dikemukakan kepada Pihak Berkuasa [ Pejabat Tanah Daerah (PTD) atau Pengarah Tanah dan Galian Negeri (PTG) atau Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) ]. Permohonan-permohonan kemudiannya dirujukkan kepada JPS untuk ulasan sebelum diberikan kelulusan.

Di negeri-negeri Pulau Pinang, Pahang, Selangor dan Kedah kuasa meluluskan adalah EXCO Kerajaan Negeri.

Di negeri Sarawak kuasa meluluskan adalah Kementerian Perancangan Sumber.

Sementara di lain-lain negeri pula, kuasa meluluskan sesuatu permohonan permit pengambilan pasir diberikan kepada Pejabat Tanah Daerah atau Pengarah Tanah dan Galian Negeri.

Dari segi penguatkuasaan, semua negeri memberi kuasa kepada Pejabat Tanah Daerah serta Pengarah Tanah dan Galian Negeri masing-masing manakala di Negeri Sarawak kuasa penguatkuasaan diberikan kepada Pejabat Ukur dan Tanah.

(Dari segi pengawasan, pada masa ini JPS membuat pemeriksaan dari masa kesemasa dan melaporkan kepada Pentadbir Tanah Daerah untuk tindakan lanjut.

DOKUMEN-DOKUMEN PERMOHONAN

Dokumen-dokumen berikut perlu dikemukakan kepada JPS semasa permohonan oleh pengusaha pelombong pasir.

Keterangan Operasi.

Keterangan Am - menerangkan secara rengkas mengenai lokasi seperti daerah, mukim, kawasan dan bahagian sungai yang terlibat. Memberi maklumat cara pasir dikeluarkan, luas kawasan diatas tebing sungai yang hendak dikerjakan, kuantiti yang akan diambil dalam sehari, cara dan tempat `stockpile' dan mencuci pasir serta surat tunjuk izin dari tuan tanah yang terlibat, cara pengangkutan keluar pasir dan cara melindungi tebing dan rizab sungai.

Pelan-pelan

  •         (Pelan Lokasi - (saiz A4 ) yang menunjukkan :-
  •         Penunjuk Arah UtaraKawasan Cadangan Operasi
  •        Skil 1 : 100,000 (Peta Topographi)

Pelan Tapak -(saiz A3/A4) yang menunjukkan :-

  •        Bahagian sungai dan tapak perlombongan pasir
  •         Jalan keluar/masuk
  •         Sempadan lot
  •         Bangunan dalam lingkungan jarak 500 meter
  •         Struktur sungai sediada seperti rumah pam, jambatan, jeti dan lain-lain.
  •        Kedudukan `Stockpile' dan pejabat tapak.
  •         Skil 1 : 6336 atau 1: 12,672 (`Revenue sheet')

Pelan Keratan Lintang dan Bujur - Dimana kelebaran sungai melebehi 20 meter, pengusaha perlu mengemukakan kepada JPS pelan -pelan berikut, yang disediakan oleh Jurukur Berlesen untuk semakan, sebelum operasi dan pada bila-bila masa sepanjang tempoh operasi seperti yang diminta oleh JPS dan semua aras hendaklah berdasarkan kepada Aras Ordinance Datum Jabatan Ukur:-

Pelan keratan Lintang ( Cross-sectional Plan)

Diambil antara sela 20 meter atau lain-lain sela di tempat yang sesuai seperti yang diminta oleh JPS. Pelan ini perlu menunjukkan aras dasar dan tebing sungai serta rizab sungai.

Pelan Keratan Bujur (Longitudinal Plan)

Pelan yang menunjukkan `profile' tebing sungai serta aras dasar sungai di bahagian operasi dan termasuk antara jarak 200 meter kehulu dan 200 meter kehilir dengan `spot level' diambil antara sela 20 meter.

Gambar Foto.

Gambar-gambar foto menunjukkan tapak pengambilan pasir perlu dikemukakan oleh pengusaha melombong pasir sebelum operasi.

 SYARAT-SYARAT TEKNIKAL

Syarat-syarat teknikal yang perlu dipatuhi oleh pengusaha-pengusaha

perlombongan pasir sungai adalah seperti berikut:-

Pengambilan pasir adalah tertakluk kepada penggunaan kaedah/jentera ________________________.

Pengusaha hendaklah memastikan pengambilan pasir dari dasar sungai hendaklah tidak melebihi ___________ meter dalam dan pengusaha hendaklah juga memastikan pengambilan pasir berdasarkan cara lapisan dan bukan secara tompok-tompok.

Pengusaha hendaklah memastikan kadar pengambilan pasir tidak melebihi ____________ meter padu sehari.

Pengusaha adalah bertanggungjawab untuk melaporkan kepada JPS segala kerosakan tebing sungai akibat pengambilan pasir dan hendaklah membaikinya atas tanggungan sendiri.

Pengusaha adalah bertanggungjawab terhadap apa-apa pencemaran seperti tumpahan minyak kepada sungai akibat pengambilan pasir dan hendaklah mengambil tindakan yang perlu bagi mengatasinya.

Sekiranya kaedah pam dan kapal korek digunakan untuk mengambil pasir di sesuatu sungai yang digunakan oleh pengangkutan air, pengusaha dikehendaki memastikan tali pengukuh (anchor wire) dan paip mengalur pasir ke `stockpile' tidak menjadi penghalang kepada laluan pengangkutan air.

Pembinaan sebarang struktur merintangi sungai untuk tujuan mengumpulkan pasir adalah dilarang sama sekali.

Pengambilan pasir hanya dibenarkan di Sepertiga Bahagian Tengah sungai sahaja (Middle Third of river section). Sila lihat rajah 1.

Pengusaha adalah diingatkan mesin-mesin seperti jengkaut dan sebagainya dilarang sama sekali berada di dalam saluran sungai.

Pengusaha hendaklah sentiasa memastikan aktiviti pengambilan pasir tidak akan mendatangkan bahaya kepada harta awam seperti struktur hidrolik, jambatan, jeti, bangunan, dan sebagainya.

Pengusaha perlu memastikan kedudukan `stockpile' pasir hendaklah berada sekurang-kurangnya 20 meter dari tebing sungai dan juga dikehendaki menyediakan sistem kawalan air yang sempurna untuk mengawal aliran air keluar dari `stockpile' atau semasa mencuci pasir.

Untuk pengambilan pasir mengunakan kaedah jengkaut `stockpile' pasir `sementara' dibenarkan berada 10 meter daripada tebing. Walaubagaimana pun struktur mencuci pasir dan `stockpile' pasir `utama' (pasir yang telah dicuci) bagi kaedah ini masih ditetapkan sekurang-kurang 20 meter dari tebing sungai.

Semua pokok dan tumbuhan ditebing sungai hanya boleh ditebang atau dibersihkan dengan memperolehi kebenaran JPS terlebih dahulu.

Apa juga binaan struktur tidak dibenar didirikan sama sekali didalam rezab sungai. Binaan struktur jenis sementara pula seperti `Hopper' , pejabat tapak dan sebagainya perlu memperolehi kebenaran daripada JPS terlebih dahulu dan hendaklah didirikan sekurang-kurangnya 20 meter dari tebing sungai.

Pengusaha adalah dikehendaki menyediakan pelan sukat keratan lintang dan bujur semasa dan selepas operasi atau bila-bila masa yang dikehendaki oleh JPS. Kerja sukat tersebut hendaklah disediakan oleh Jurukur Berlesen dan berdasarkan kepada Aras Ordinance Datum Jabatan Ukur.

SYARAT-SYARAT PENTADBIRAN

Syarat-syarat yang boleh dikenakan kepada pengusaha-pengusaha perlombongan pasir sungai dari segi pentadbiran adalah seperti berikut:-

Pengusaha adalah dikehendaki membayar wang cagaran sebanyak RM____________ dalam bentuk bank deraf atas nama Pengarah Pengairan dan Saliran Negeri masing-masing. Wang cagaran ini akan hanya diserahkan kembali apabila pengusaha mengemukakan permohonan setelah tamat tempoh permit dan pihak kerajaan berpuas hati tiada kerosakan terhadap keadaan sungai yang terlibat.

Papan kenyataan bersaiz 1.5 m x 2.0 m menunjukkan dengan jelas butir-butir mengenai pengusaha seperti Nama, Alamat, No. talipon, No. Rujukan surat kebenaran/Permit, tempoh sah-laku hendaklah didirikan di tapak di mana pasir dikeluarkan.

Pengusaha juga dikehendaki mendirikan Papan tanda bersaiz 0.5 m x 1.0m yang menandakan sempadan kawasan pasir yang telah diluluskan dan hendaklah jelas kelihatan didirikan di hulu dan di hilir tebing sungai tersebut.

 Sekiranya pihak Kerajaan mendapati perlu untuk menjalankan kerja-kerja selenggaraan atau kerja-kerja pembangunan di kawasan pasir dikeluarkan, kerajaan berhak membatalkan dan menarik balik permit yang diluluskan kepada pengusaha dengan memberi notis sekurang-kurangnya selama satu (1) bulan.

Permit yang dikeluar dihadkan tempoh sahnya selama __________ bulan sahaja dan JPS perlu dirujuk terlebih dahulu sekiranya permit perlu diperbaharui.

 Apabila tempoh permit telah tamat, pengusaha dikehendaki dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh tamatnya permit membawa keluar segala peralatan yang ada di tapak dan membaiki segala kerosakan yang terdapat di tebing dan di kawasan rezab sungai atas tanggungan pengusaha sendiri.

Pengusaha hendaklah menyelesaikan sendiri sebarang masalah seperti aduan, bantahan dan lain-lain yang timbul berhubung dengan kegiatannya di situ.

Pegawai JPS berhak memasuki kawasan tapak pada bila-bila masa sekiranya diperlukan bagi memastikan syarat-syarat Jabatan dipatuhi.

Pengusaha adalah dikehendaki menandatangani satu surat penjanjian bersetuju untuk mematuhi semua syarat-syarat yang telah ditetapkan kepadanya.

Pihak Kerajaan berhak menarik balik atau menggantungkan permit tersebut dan wang cagaran dirampas pada bila-bila masa sahaja sekiranya pengusaha gagal mematuhi satu atau mana-mana syarat-syarat yang telah ditetapkan atau syarat-syarat tambahan yang dikenakan dari semasa ke semasa.

Keratan Contoh Sungai Menunjukkan Bahagian Yang dibenarkan, Pengambilan Pasir dan Kedudukan "Stockpile"