
Penubuhan Jabatan diteruskan dengan penubuhan JUPEM Sabah (1983), JUPEM Wilayah Persekutuan Labuan (1984), JUPEM Sarawak (1989) dan diakhiri dengan penubuhan JUPEM Perlis pada tahun 1995.
Jabatan Ukur bertanggungjawab dalam memacu pembangunan negara dan berfungsi sebagai penasihat kerajaan dalam bidang ukur dan pemetaan disamping menjalankan kerja-kerja pengukuran dan pemetaan sebagai asas pembangunan sosio ekonomi dan kedaulatan negara.
Sejak penubuhannya, JUPEM telah merencanakan pelbagai pembaharuan serta pemodenan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan produk yang ditawarkan. Bermula daripada penggunaan peralatan konvensional sehinggalah kepada aplikasi satelit, JUPEM sentiasa mengorak langkah mengikut perkembangan teknologi terkini dalam bidang ukur dan pemetaan.