Hari tu ada pembahagian tanah di kampung kami. Setiap keluarga akan dapat satu lot tanah seluas 15 ekar dan tidak kurang juga ada yang mendapat keluasan lot tanah seluas 13 ekar untuk satu keluarga. Keluarga saya dikira beruntung kerana menerima lot tanah nombor 191 iaitu seluas 15 ekar.
-Gambar Hiasan-
Inilah keluarga saya. Saya ada tiga orang adik beradik. Kehidupan kami serba kekurangan. Ekonomi kami bergantung pada hasil tanaman di tanah kami. Walaupun ekonomi keluarga kami kurang baik namun kami sangat bahagia hidup bersama dalam satu keluarga.
Adik-beradik semakin dewasa manakala kedua orang tua kami pula semakin tua. Tenaga mereka tidak lagi sekuat yang dulu untuk mengerjakan tanam-tanaman di kebun. Maka tibalah masanya ibubapa kami mewariskan tanah mereka kepada kami tiga orang adik-beradik. Setiap daripada kami mendapat 5 ekar seorang.
Beberapa tahun selepas itu, saya pun mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan di kampung sebelah. Kami dikeruniakan 5 orang anak dan mereka adalah dalam garis keturunan kedua dalam keluarga besar kami. Adik-beradik yang lain masih hidup membujang. Peredaran masa berlaku begitu cepat sekali. Kini anak-anak saya yang 5 orang itu sudah beranjak dewasa. Oleh kerana pada masa kini tidak ada lagi pembahagian tanah seperti yang ada sewaktu zaman ibubapa saya, maka saya wariskan tanah warisan itu kepada kelima-lima orang anak kesayangan saya. Setiap mereka mendapat bahagian masing-masing seluas 1 ekar seorang.
Digaris keturunan kedua dalam keluarga besar kami. Anak-anak berkahwin lagi dan mendapat 4 orang anak dan mereka ini pula berada digaris keturunan yang ketiga dalam keluarga besar kami. Kini 1 ekar harus diwariskan lagi kepada 4 orang anak digaris keturunan yang ketiga. Ini bermakna setiap daripada mereka akan masing-masing mendapat lot tanah seluas 0.25 ekar.
Sehinggalah digaris keturunan yang seterusnya tanah akan diwariskan lagi. Begitulah yang berlaku berulang kali pada perkara yang sama sehinggalah tanah semakin mengecil.
Sampai satu tahap proses ini tidak boleh dilakukan lagi. Kerana tanah pusaka semakin hari semakin mengecil setiap kali proses mewariskan dilakukan. Yang ada hanyalah tanah warisan sebesar sekangkang kera. Kalau tanah seluas kangkang kera, apa lagi yang boleh diusahakan di tanah itu?Ini barulah namanya tanah hanya sebesar sekangkang kera.
Kisah ini di adaptasikan daripada cerita orang-orang kebanyakan yang ada disekitar menjadi sebuah kisah untuk tatapan kita bersama bagi generasi muda.