Melihat kembali gambar lama semasa menjalani latihan keselamatan HUET di Miri Sarawak membuatkan memori lama datang semula. Degupan jantung masih terasa bila mengingatkan saat berada dalam helikopter tiruan yang tiba-tiba berpusing dan terbalik dalam air. Perasaan cemas, panik dan dalam masa yang sama perlu tenang untuk bertindak. Semua itu masih segar di ingatan.
Sebelum latihan bermula, kami semua dikumpulkan dan diberi taklimat keselamatan. Jurulatih berpengalaman menerangkan dengan jelas langkah demi langkah prosedur kecemasan, fungsi setiap peralatan dalam helikopter serta isyarat yang digunakan semasa berlaku kecemasan. Waktu itu, semua peserta memberikan tumpuan sepenuhnya. Setiap info sangat penting kerana ia boleh menyelamatkan nyawa.
Latihan dijalankan dalam kolam khas menggunakan modul helikopter sebenar. Helikopter tiruan itu direka untuk berpusing sepenuhnya di dalam air. Ketika ia menjunam dan terbalik, kami diajar supaya tidak panik, menahan nafas, membuka tali pinggang keselamatan, dan mencari jalan keluar dengan tenang walaupun dalam keadaan gelap. Beberapa sesi diulang agar semua peserta benar-benar faham dan bersedia. Ada peserta yang berjaya dalam cubaan pertama. Ada juga yang terpaksa mencuba semula kerana hilang kawalan ketika berada di dalam air. Tapi itulah tujuan latihan. Lebih baik gagal dalam latihan daripada gagal di saat sebenar.
Selesai latihan dalam air, kami dibawa ke fasa seterusnya iaitu latihan bertahan hidup dalam hutan. Kali ini lokasi latihan adalah di hutan Sabah. Kami tidak diberi kemudahan moden. Semua perlu bergantung pada ilmu dan kerjasama kumpulan. Di sinilah kami belajar mencari sumber air, membina tempat berteduh, mengenal pasti tumbuhan yang selamat dimakan dan menyalakan api dengan cara paling asas. Pengalaman bermalam di dalam hutan sambil mendengar bunyi-bunyian alam menjadikan kami lebih peka terhadap sekeliling. Latihan ini benar-benar membuka mata tentang pentingnya persiapan mental dan fizikal dalam menghadapi sebarang kecemasan, terutama bagi kami yang sering bekerja di kawasan luar bandar dan terpencil.
Apa yang lebih membanggakan ialah semua peserta datang dari Sabah dan Sarawak. Walaupun berbeza latar belakang kami semua bekerjasama seperti satu pasukan. Dalam kolam mahupun di hutan, tiada siapa ditinggalkan. Semangat saling membantu sangat tinggi. Ikatan yang terjalin sepanjang latihan ini menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan.
Sebagai orang yang terlibat dalam kerja-kerja fotoudara, latihan seperti ini amat penting. Kadang-kadang tugasan membawa kami ke kawasan yang hanya boleh diakses melalui helikopter. Persediaan awal seperti ini boleh menjadi penyelamat jika berlaku perkara tidak diingini. Ia juga menjadikan kita lebih bersedia dan berkeyakinan semasa berada di udara.
Gambar lama dari latihan HUET ini bukan sekadar kenangan. Ia adalah peringatan tentang betapa pentingnya ilmu keselamatan dalam menjalankan tugas. Pengalaman di Miri dan di hutan Sabah telah mengajar erti ketahanan, kerjasama, disiplin dan keberanian. Pengalaman ini bukan semua orang lalui. Bagi yang pernah, pasti faham perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Ia kekal dalam ingatan, menjadi satu bab penting dalam perjalanan kerjaya dan kehidupan.